bersama Salma Wael Marzouk
Baru - baru ini salah seorang daripada Pelajar Perubatan Tahun 2 iaitu Salma Wael Marzouk Abouelsoud Hashem atau lebih mesra dipanggil sebagai Salma telah memenangi Naib Johan bagi Peringkat Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021. Tahniah diucapkan kepada Salma kerana berjaya mengharumkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia selaras dengan institusi yang memartabatkan Bahasa Melayu.
Sesi temu ramah eksklusif
Berasal Dari Mesir
Berkenaan latar belakang, beliau berasal dari Mesir. Petah dan ramah mesra orangnya apabila mengenali lebih lanjut. Oleh itu, beliau sudi untuk berkongsi akan pengalaman kejayaannya sepanjang pidato itu."Pada mulanya saya tidak berharap untuk memenangi pertandingan ini kerana saya merasakan bahawa ramai lagi peserta lain yang lebih layak kerana mereka menunjukkan potensi yang lebih baik. Bak kata jurulatih, rezeki tidak pernah salah alamat, pada hari tersebut Tuhan mengizinkan saya untuk memenangi naib johan bagi kategori antarabangsa di Malaysia. Saya sangat gembira dan bersyukur atas kemenangan tersebut.”
PABM juga merupakan pertandingan pidato yang melibatkan Perdana Menteri dan Barisan VVIP. “Sudah tentu perasaan gemuruh dan gementar menguasai diri pada mulanya tetapi bersyukur ke hadrat illahi kerana sentiasa tenang ketika menyampaikan pidato ini. Hal ini kerana berkat doa ibu yang sering memberi pesanan kepada saya untuk membacanya. Berikut merupakan doa daripada ibu Salwa :
لا الاه اللا الله من يسوق الخير اللا الله
لا الاه اللا الله من يصرف السوء اللا الله
لا الاه اللا الله ما كان من نعمة فمن الله
لا الاه اللا الله ولا حول ولا قوة الا بالله
Tidak mempunyai jurulatih khusus untuk pidato
“Sejujurnya saya tidak mempunyai jurulatih khusus untuk pidato ini tetapi saya juga merujuk kepada guru sekolah menengah untuk penambahbaikan skrip. Dengan itu, saya dapat memberi persediaan yang terbaik sebelum menyampaikan pidato tersebut. Saya juga lebih bersemangat kerana Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan institusi yang memartabatkan Bahasa Melayu jadi saya merasakan bahawa ia merupakan suatu tanggungjawab besar buat diri saya sebagai wakil UKM. Oleh itu, saya perlu buat sehabis baik dalam pidato ini, ujar Salma.
Sebelum ini, beliau tidak pernah menyertai pertandingan pidato sebegini malah lebih aktif dalam bersajak. “Saya ingin mencuba benda baharu di luar zon keselesaan kerana ingin menimba lebih banyak pengalaman yang akan digunakan pada masa hadapan. Kemenangan atau kekalahan bukanlah menjadi titik noktah buat saya untuk berhenti malah saya akan menyertai lagi pidato sebegini jika diberi peluang”, ujar Salma.
"Perkara yang membuat saya tertarik adalah semua peserta menunjukkan potensi yang baik"
Seperti mana yang kita tahu, saudari Salma berasal dari Mesir tetapi kefasihannya terhadap Bahasa Melayu sangat tinggi. Hal ini kerana beliau mula menetap di Malaysia pada usia 1 tahun menyebabkan beliau dapat meningkatkan kefahaman terhadap Bahasa Melayu dengan baik.
Menurut beliau, Bahasa Melayu merupakan Bahasa yang indah dan mempunyai lenggok bahasanya tersendiri. Ia juga Bahasa yang mudah untuk dipelajari Oleh itu, bahasa ini perlu dimartabatkan dan digunakan selalu. Bahasa Melayu juga merupakan Bahasa rasmi negara. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu dengan sebaiknya.
Tips untuk berjaya dalam pidato
Antara tips utama untuk berjaya dalam pidato atau apa jua pertandingan adalah niat. “Saya sering mengingatkan bahawa saya perlu cuba yang terbaik untuk mengharumkan nama universiti yang bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi tersebut malah pelajar lain juga. Dengan niat tersebut serba sedikit dapat membantu diri sendiri untuk cuba yang terbaik’’, ujar Salma. Mendengar kata - kata jurulatih juga meningkatkan keyakinan diri semasa pertandingan. Hal ini kerana dapat menambahbaik segala yang perlu dibetulkan. “Sentiasa tanam diri semangat untuk belajar dan menjadi diri sendiri merupakan salah satu tips kejayaan beliau.
Jika berpeluang lagi untuk menyertai pertandingan pidato sebegini, beliau pasti akan melibatkan diri lagi untuk menimba lebih banyak pengalaman. Akhirnya, beliau berpesan bahawa tiada kejayaan yang mendatang tanpa doa-doa orang sekeliling. Doa daripada ibu bapa, kawan-kawan mahupun orang sekeliling merupakan sangat penting. Hal ini kerana kejayaan kita merupakan berkat daripada doa-doa mereka dan segala usaha yang diberikan. Justeru, melalui perkongsian ini, diharapkan dapat memberi inspirasi sekaligus memotivasikan kepada warga UKM yang berminat untuk menyertai pidato ini.